Papan Induk memainkan peranan utama dalam menyalurkan kuasa elektrik dan data kepada komponen lain seperti pemproses dan pemacu keras. Jika peranti utama ini menghadapi masalah, seluruh sistem biasanya gagal beroperasi, contohnya PC gagal melaksanakan proses “boot”. Selalunya kerosakan serius pada papan induk sukar dibaik pulih. Namun, jika timbul masalah kecil anda masih boleh mengatasinya dengan syarat anda memiliki pengetahuan dan kemahiran mengesan punca masalah selain langkah untuk mengatasinya. Kemahiran menangani masalah yang melibatkan peranti PC termasuk papan induk memang wajar dikuasai. Sekurang-kurangnya anda dapat menangani masalah tersebut dengan inisiatif sendiri. Pada masa yang sama anda dapat mengelak daripada berbelanja lagi, contohnya membeli papan induk baru, sedangkan anda tidak perlu berbuat demikian. Jadi artikel ini akan menyentuh beberapa masalah biasa papan induk yang mungkin dihadapi pengguna. Kemudian disusuli dengan beberapa langkah-langkah penyelesaian yang boleh diambil.
Masalah 1
Kadangkala tetikus atau papan induk gagal berfungsi, biarpun ia dicabut, dipasang semula, dan digantikan dengan tetikus lain. Puncanya mungkin pada port PS/2. Port ini menghubungkan tetikus dan papan kekunci pada papan induk. Jika port ini dihubungkan kepada perantinya berulang kali atau kerap, ada kemungkinan port tersebut menjadi longgar. Satu cara mengatasinya, ialah memateri kembali port tersebut. Jika langkah ini anda lakukan sendiri, jaminan papan induk mungkin terbatal. Jadi serahkan tugas tersebut kepada pakar.
Masalah 2
Sesetengah masalah papan induk timbul selepas anda melakukan penggantian komponen tertentu. Biasanya kerosakan boleh berlaku apabila hujung pemutar skru atau peralatan lain yang anda gunakan terhempas dan terkena komponen papan induk. Ini tertakluk kepada tahap kerosakannya. Jika kerosakan itu serius, papan induk yang ‘cedera' mungkin perlu ditukar. Bagi meminimakan kerosakan seperti ini, sila gunakan pemutar skru yang lebih ringan dan tumpul, selain lebih berhati-hati ketika mengendalikan komponen dalaman PC.
Masalah 3
Semasa memasang papan induk baru atau mengubah tetapan pada papan induk lama, tanpa disedari berlaku kesilapan kecil. Ia biasa dan kesannya papan induk gagal berfungsi. Jika anda memasang pemproses baru, periksa sekali lagi untuk memastikan pemproses itu dipasang dengan betul. Pastikan juga kipas pemproses, kipas casis dan kabel kuasanya dipasang dengan betul selain kemas. Tidak mustahil jika anda terlupa untuk menghubungkan kabel bekalan kuasa pada papan induk. Jika perlu semak manual peranti yang dibekalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan