Play Crypto Mining Game

07 Disember 2008

~ Isu Tulisan Jawi ~

"Sudah terhantuk, baru nak terngadah”, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi”, dan “nasi sudah menjadi bubur” adalah di antara pepatah melayu yang dapat dikaitkan dengan isu tulisan jawi pada masa kini. Tulisan jawi yang satu ketika dulu menjadi wadah utama dalam setiap majalah, akhbar dan kurikulum utama di sekolah-sekolah, kini umpama tinggal sejarah kerana kurangnya kesedaran tentang peri pentingnya tulisan jawi ini pada golongan masa kini yang lebih mengagungkan bahasa Inggeris yang kononnya bahasa Inggeris ini adalah satu bahasa universal yang perlu dikuasai. Kesedaran dari golongan pemerintah yang kurang mengambil dan memberi penekanan terhadap perkembangan tulisan jawi ini sendiri adalah di antara punca dan jawapan kepada persoalan kenapa tulisan jawi ini tidak dapat bertahan hingga kini.

Terdapat beberapa aktor utama yang terlibat dalam isu tulisan jawi ini. Aktor yang terlibat ialah aktor rasmi dan juga aktor tidak rasmi. Aktor rasmi yang terbabit dalam isu tulisan jawi ini ialah peranan kerajaan pemerintah itu sendiri yang merupakan aktor utama yang diwakili oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Aktor pelengkap ataupun dikenali sebagai birokrat ini adalah merupakan aktor yang bertanggungjawab melaksanakan dasar dan peranan dalam isu tulisan jawi ini dan ia terdiri daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Kumpulan Utusan yang dianggap sebagai aktor yang banyak membantu dan menyumbang dalam memperkembangkan lagi kepentingan tulisan jawi ini jika hendak dibandingkan dengan peranan yang dimainkan oleh aktor utama. Manakala aktor tidak rasmi pula terdiri daripada kumpulan berkepentingan seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO), media, parti politik dan masyarakat itu sendiri.

Aktor utama seperti Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sepatutnya menjalankan tanggungjawabnya dalam mempertahankan keutuhan tulisan jawi ini pada masa depan. Kementerian pelajaran seharusnya memperkenalkan satu bentuk kurikulum yang lebih mengkhususkan kepada kepentingan tulisan jawi ini di peringkat paling asas iaitu bermula dari tadika, sekolah rendah, menengah dan hinggalah ke institut pengajian tinggi. Ini adalah diharapkan agar masyarakat tidak buta tentang kewujudan tulisan jawi dan peri pentingnya tulisan jawi ini pada mereka. Manakala Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pula seharusnya mencari alternatif dengan aktor-aktor lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kumpulan Utusan bagi membincangkan langkah yang patut diambil bagi mengelakkan tulisan jawi ini dari terus pupus ditelan arus globalisasi.

Oleh itu, Kementerian Pelajaran perlu meletakkan semula martabat tulisan jawi di tempat yang sewajarnya dan mengambil langkah segera demi kesinambungan jati diri bangsa Melayu dan umat Islam. Maka dengan itu harus ada faktor pendorong untuk menerbitkan semula akhbar jawi yang pernah diterbitkan oleh Kumpulan Utusan yang dilihat sebelum ini hanya berseorangan dalam mempertahankan martabat tulisan jawi tanpa ada sokongan yang kuat dari kerajaan sendiri. Jadi sudah sampai masanya kerajaan perlu campur tangan untuk membantu Kumpulan Utusan menerbitkan semula akhbar itu supaya tulisan jawi ini tidak berkubur begitu sahaja. Kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, iaitu Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang bersedia mencari alternatif terbaik bagi mengekalkan tulisan jawi adalah satu tindakan bijak yang dapat memberi nafas baru kepada martabat tulisan jawi. Pelbagai pendapat dan pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak dan di antaranya ialah diadakan lebih banyak majalah dan buku dalam tulisan jawi yang diterbitkan setiap tahun. Ini memandangkan jumlah mereka yang celik jawi di negara ini adalah tinggi dan kebanyakkanya terdiri dari golongan kelas pertengahan yang mempunyai taraf pendidikan yang baik. Selain itu juga, terdapat juga pandangan yang meminta agar setiap agensi di dalam negara tidak kira awam atau swasta, mereka digalakkan menggunakan tulisan jawi pada kepala surat rasmi sekiranya ingin menjalankan sesuatu urusan rasmi. Malah, sepatutnya Jabatan agama Islam setiap negeri menggunakan tulisan jawi sebagai tulisan rasmi mereka kerana ini bersesuaian dengan peranan jabatan tersebut yang menguruskan hal ehwal agama Islam di dalam negeri masing-masing. Agensi kerajaan juga diwajibkan menggunakan tulisan jawi pada papan-papan tanda perdagangan dan perniagaan, papan kenyataan dan papan iklan termasuklah yang mempunyai label jenama produk keluaran bumiputera khususnya.

Langkah dan cadangan yang lebih drastik yang boleh dilakukan iaitu dengan memperbanyakkan lagi bahan-bahan dalam tulisan jawi sama ada dalam media elektronik mahupun media cetak. Manakala diperingkat sekolah pula, kerajaan perlu mengembeleng tenaga bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) menggunakan tulisan jawi dilaksanakan di setiap sekolah. Akhbar seperti Utusan Melayu pula perlu diteruskan dengan memuatkan berita-berita terkini bagi menarik lebih ramai pembaca baru terutamanya golongan muda, disamping menggalakkan golongan korporat dan pemilik syarikat supaya membuat iklan mereka di dalam akhbar Utusan Melayu bagi memastikan akhbar tulisan jawi ini dapat bertahan lebih lama dan terus hidup pada masa depan. Penerbitan semula Utusan Melayu ini perlu diteruskan kerana ia merupakan satu-satunya akhbar yang memperjuangkan tulisan jawi sebagai lambang warisan khazanah orang melayu. Oleh itu, pemuafakatan tokoh korporat, pihak kerajaan, dan badan bukan kerajaan ke arah menghidupkan semula akhbar bertulisan jawi ini perlu disegerakan.

Hasil daripada langkah yang dikemukakan diharap dapat membantu mempertahankan kepentingan tulisan jawi pada masa depan dan mendedahkan golongan muda mengenai pentingnya tulisan jawi ini bagi masyarakat melayu. Namun, tindakan ini janganlah setakat “hangat-hangat tahi ayam “ sahaja tetapi perlu dilaksanakan dengan ikhlas demi menjamin tulisan jawi kekal sebagai wadah pembacaan dalam masyarakat melayu. Semua pihak perlu berganding bahu dalam memikul tanggungjawab mempertahankan tulisan jawi ini seperti kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Jika ada satu pihak sahaja yang bersungguh-sungguh dalam mempertahankan tulisan jawi ini, ia sebenarnya tidak bermakna kerana ia pastinya tidak akan kukuh, umpama “sebatang lidi mudah dipatahkan tetapi jika ada 10 batang lidi pasti ia tidak mudah patah”.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Antaranya tulisan Jawi boleh dimajukan di tanah rancangan Felda. Perlu ada usaha untuk generasi felda menyanjungi kembali tulisan Jawi ini.

Jabatan Pendaftaran Negara juga boleh memulakan tulisan Jawi dalam kad pengenalan Mykad/Mykid untuk ejaan nama, di samping rumi.

Itupun andai kita masih menghargai dan mencintai nilai-nilai universal Melayu itu sendiri.

Tanpa Nama berkata...

Isunya permasalahan orang Melayu itu sendiri yang tidak lagi menaruh minat terhadap warisan bangsanya sendiri, dan tidak tahu untuk memelihara dan membelanya.

Meminjam kata Hasan Ahmad, yakni kerana adanya orang dan pemimpin Melayu yang bebal. Bebal dek menjulang budaya orang, menghenyak budaya sendiri.